Monday, April 6, 2009

WARKAH UNTUK MUHAMMAD

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Demi Allah yang dalam tangannya jiwa dan nyawaku,

Hari ini, ku tulis warkah ini untukmu Muhammad,
Rasul junjungan, cahaya seluruh alam.

Wahai Muhammad,
Kadang-kadang ku rindukan kehadiranmu,
Kadang-kadang terasa seolah-olah ingin berada bersama-sama kalanganmu 1430 tahun yang lalu,
berhijrah bersama-samamu,
berjihad di sampingmu,
Kadang-kadang terasa terlalu ingin mengenali dan mendekatimu,
Memandang wajahmu,
mengucap salam kepadamu, mengaminkan doamu,
Hiba sekali hati ini wahai RasulullahHanya Allah sahaja yang tahu, betapa aku merasakan kerinduan kepada mu yang meruntun hati.

Aku bangun di awal pagi tadi.
Dan aku lihat surau masih gelap.
Cuma ada 2-3 orang padahal azan Subuh sudah berkumandang.
Melihat keadaan itu, aku berasa terlalu kalah dan gagal.
Aku teringat kata-kata Rahib Yahudi yang mengatakan bahawa umat Islam tak mungkin akan menang selagi solat Subuh mereka tidak seperti solat jumaat.
Aku berasa sangat penat.
Aku sedih.
Bilakah kemenangan itu akan tiba sekiranya hingga hari ini kami masih susah nak bangun Subuh pun.
Aku dapat merasakan kebencian yang membuak-buak dalam diriku terhadap taghut yang banyak menyesatkan umat mu Muhammad.
Bahkan aku sendiri tidak terkecuali.

Ya Muhammad,
Bila mengingati saat kau meninggalkan kami,
aku berasa terlalu sedih.
Dah tak ada lagi Rasul Allah bersama-sama kami.
Pemergian kau beerti permulaan hidup kami yang kucar kacir di muka bumi.
Pemergianmu beerti selepas ini kami harus bangun sendiri andainya kami jatuh, mengesat sendiri air mata kami andainya sedih dan menyembuhkan sendiri kesakitan kami andainya dilukai.

Hari ini Muhammad,
kau pasti bisa melihat dari mana saja rohmu berada,
umat mu kini penuh duka larasebahagian bermandikan darah,
sebahagian bersiramkan harta,
sebahagian ini tidak menolong sebahagian yang lainbahkan seandainya mahu menolong pun tidak berdaya

Maafkanlah kami wahai Rasul Allah,
Kerana kami gagal lagi mencontohimu
Maafkanlah kami wahai nabi Allah,
saban hari kami melupakan perjuanganmuYa Mu’allim
Malunya kami kepadamu tidak tertahan lagi wahai Muhammad
Kegagalan orang di sekeliling untuk memahami Islam adalah kegagalan kami menyampaikan ajaran Al Quran dan Sunnahmu.

Wahai Muhammad Rasul Allah
Ku kirimkan warkah ini untuk mu dengan penuh harapan supaya seandainya kita bertemu di akhirat nanti,
dapatlah kita berjabat mesra sekalipun kita tidak pernah bertemu dan bertegur sapa.
Selawat dan salam ke atas Rasul Allah,
Muhammad s.a.w


“Dan kami pasti menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar” (2: 155)

hasil nukilan Kak Farah Najwa (KMB)

No comments:

Post a Comment